Welcome To Portal Komuniti Muslimah -- Hanan.com.my.my

  Create An Account Home  ·  Topik  ·  Statistik  ·  Your Account  ·  Hantar Artikel  ·  Top 10 07-04-2020  

  Suka!
New Page 1

  Mutiara Kata
Ketidakmampuan itu adalah malapetaka, kesabaran adalah keberanian, zuhud adalah kekayaan, pengendalian diri adalah perisai (terhadap dosa) dan sahabat terbaik dalam penyerahan (kepada Allah)
--
Saidina Ali

  Menu Utama

  Keahlian Portal Komuniti
Terkini: Laurenjoy
Hari Ini: 0
Semalam: 0
Jumlah Ahli: 13724

  Sedang Online
Assalamualaikum
Tetamu

Nickname

Password



[ Mendaftar ]

Sedang Online:
Tetamu: 19
Ahli: 0
Jumlah: 19




  Dari Galeri
majlis al-firaq di kolej bank muamalat, uum

  Yang Masuk Ke Sini
citey: 4 hari yang lalu
Laurenjoy: 32 hari yang lalu
jackurban: 33 hari yang lalu
porkalwais: 33 hari yang lalu


Al-Quran dan Hadis
Topik: Sifat Allah yg ke-5, "Qiamuhu Binafsihi"


Carian Forum

Moderator: Pengurusan
Portal Komuniti Muslimah -- Hanan.com.my.my Indeks Forum
  »» Al-Quran dan Hadis
    »» Sifat Allah yg ke-5, "Qiamuhu Binafsihi"

Please Mendaftar To Post


Oleh Sifat Allah yg ke-5, "Qiamuhu Binafsihi"

engku_salina
-WARGA SETIA-
Menyertai: 17.04.2003
Ahli No: 25
Posting: 592
Dari: Kuala Lumpur

Terengganu   avatar


posticon Posting pada: 02-05-03 10:38


Pengajian tauhid kita pada kali ini ialah mengenai sifat yang kelima yang wajib bagi Allah SWT iaitu sifat Qiamuhu Taala Binafsihi. Ertinya ialah ‘berdiri Allah SWT itu dengan sendirinya’. Dalam lain-lain perkataan, ia memberi erti bahawa Allah SWT itu tiada berhajat kepada kepada tempat berdiri dan tiada berkehendak kepada yang menjadikan Dia.

Di sini hendaklah kita ingat benar-benar bahawa Qiamuhu Taala Binafsihi ini tidak boleh kita bawakan pengertiannya kepada sifat makhluk. Adapun berdiri dengan sendiri yang berlaku pada makhluk kita ertikan sebagai dia bangun daripada keadaan duduk tanpa bantuan sesiapa. Ini dikatakan dia berdiri dengan sendiri. Tetapi berdiri dengan sendiri yang berlaku padfa Allah SWT tidak demikian.

Allah SWT itu berdiri dengan sendiri dalam ertikata bahawa Allah tidak kerkehendak kepada zat tempat Dia berdiri. Dan Allah SWT tidak memerlukan yang menjadikan Dia. Yang sebenarnya, memang tidak ada siapa yang menjadikannya. Sebagai perbahasan semata, kalaulah sekiranya Allah SWT itu memerlukan zat tempat Dia berdiri, ini memberi erti bahawa Allah SWT itu bukan lagi zat tetapi adalah sifat. Kerana yang memerlukan kepada zat tempat berdiri adalah sifat. Adapun sifat adalah berdiri pada zat.

Sedangkan dahulu, kita telah bahaskan bahawa Allah SWT itu bukan sifat tetapi adalah zat. Kerana itu, kita tidak boleh mengatakan bahawa Allah SWT memerlukan kepada tempat berdiri kerana yang memerlukan kepada tempat berdiri adalah sifat. Tetapi Allah SWT itu bukan sifat. Kemudian yang dikatakan yang Allah SWT itu tidak memerlukan kepada yang menjadikan Dia. Kalaulah SWT itu memerlukan kepada yang menjadikanNya, maka dengan sendirinya kita telah mengatakan bahawa Allah SWT itu adalah baharu. Kalau begitu Allah bukan Tuhan lagi kerana Dia dijadikan. Sedangkan Tuhan yang sebenarnya, tiada ada yang menjadikanNya. Oleh itu, kerana Allah SWT itu tidak ada siapa yang menjadikanNya, maka Dia tidak berhajat kepada yang menjadikanNya.

Tegasnya Allah SWT itu adalah terkaya dengan sendirinya. Dia tidak memerlukan kepada tem­pat berdiri dan tidak memerlukan kepada yang menjadikan-Nya, kerana sememangnya Allah SWT itu tidak ada siapa yang menjadikanNya. Kerana Allah SWT itu terkaya dengan sendi­rinya. Dia tidak berhajat kepada apa sahaja, sama ada perbuatanNya mahupun pada hikmahNya.

Oleh yang demikian juga, AIlah SWT itu tidak berhajat kepada segala suruhan dan perintahNya. Begitu juga Allah SWT tidak berhajat kepada setiap perintah laranganNya. Sebaliknya, yang berhajat kepada se­mua perintah suruh dan larang itu adalah makhluk seperti ma­nusia ini.

Jadi, Allah SWT menjadikan undang-undang dan peraturan-peraturan hidup yang berbentuk suruh dan yang berbentuk la­rang. Semua itu adalah untuk keselamatan manusia sama ada keselamatan di dunia mahupun keselamatan di Akhirat. Tidak­lah Allah itu mendapat faedah atau manfaat darinya tetapi fa­edah dan manfaat itu adalah kembali kepada manusia itu sendiri.

KESELAMATAN

Begitu juga, setiap kejadian atau peraturan dan undang-un­dang yang Allah jadikan itu ada dengan hikmah-hikmahnya, te­tapi hikmah-hikmah itu sendiri bukan untuk Allah SWT tetapi adalah untuk manusia juga. Dan semua itu adalah merupakan ke­lebihan serta rahmat dan kasih sayang Allah SWT kepada hamba-hambaNya jua. Ada pun kasih sayang Allah SWT itu kepa­da hamba-hamba-Nya tidak ada ukurannya pada manusia. Se­bab itulah sebagai menggam­barkannya kepada manusia, Ra­sulullah s.a.w. pernah bersabda, maksudnya:"Allah SWT berkata di dalam hadith.Qudsi, "Aku lebih kasihkan hambaKu daripada se­orang ibu kasihkan anaknya."

Seorang ibu memang kasih kepada anaknya hingga sang­gup berbuat apa saja untuk anaknya. Kalau anak itu menangis di waktu malam, dia sanggup berjaga malam. Namun, walau macam mana sekali kasih seorang ibu itu kepada anaknya, kasih Allah kepada hamba-Nya adalah lebih dari itu.

Jadi, sebagai tanda rahmat dan kasih sayang Allah yang begitu besar, maka Allah datangkan peraturan dan undang-un­dang untuk hambaNya, bagi menjamin keselamatan hidup mereka di dunia dan juga di Akhirat. Sejak dari Nabi Adam A.S. hinggalah kepada Nabi Muhammad S.A.W., peraturan itu Allah datangkan, cuma antara satu Nabi dengan satu Nabi yang lain, peraturannya tidak sama tetapi adalah sentiasa berubah mengikut pertambahan manusia dan mengikut pengalaman hidup manusia dari masa ke masa. Sampai kepada Rasulullah S.A.W. peraturan itu dilengkap dan disempurnakan sepertimana Allah firmankan, maksudnya; "Pada hari itu Aku sempurna­kan untukmu agamamu, Aku cukupkan nikmatKu untukmu dan Aku redhakan Islam itu menjadi agamamu." (Surah AI Maidah: 3)

Peraturan hidup yang Allah datangkan untuk kesejahteraan hidup manusia itu, dinamakan syariat Islam. la mengandungi perintah-perintah yang berbentuk fardhu dan sunat serta larang­an-larangan yang berbentuk haram dan makruh. Ia juga mengandungi perkara-perkara yang sah dan batal, yang halal dan haram, yang mana boleh dan yang mana tidak boleh dan sebagainya. Seluruh peraturan dan undang-undang itu pula menyuluh dalam kehidupan manu­sia pada setiap aspek dan se­tiap bidangnya sama ada di bidang, peribadi, bidang rumah­tangga, masyarakat, ekonomi, pendidikan. siasah hinggalah kepada persoalan negara dan hubungan antarabangsa. la juga menyuluh segala tindak-tanduk zahir dan batin manusia. Sebab itulah ia dikatakan sebagai "agama yang disempurnakan oleh Allah SWT".

Dan semuanya itu adalah un­tuk faedah manusia semata-ma­ta. Allah tidak berhajat kepadanya tetapi yang berhajat kepada peraturan hidup itu ialah manusia sendiri. Yang mendapat fae­dah dan manfaat di atas peratur­an-peraturan hidup itu adalah manusia sendiri. Allah tidak memerlukan kepadanya. Sekarang marilah kita bahaskan, bagaimanakah peraturan dan undang­undang yang Allah jadikan, yang kita namakan syariat Islam itu, berfaedah kepada manusia.

FARDHU

Sepertimana yang telah kita katakan tadi bahawa syariat Islam ini adalah mengandungi perintah-perintah yang berbentuk suruhan sama ada suruhan yang fardhu atau wajib, mahupun suruhan yang berbentuk sunat. Suruhan yang berbentuk fardhu itu, ada pula yang menjadi fardhu ain atau wajib ain dan ada yang menjadi fardhu kifayah atau wajib kifayah. Manakala yang su­nat pula, ada yang berbentuk su­nat mu'akad dan ada yang ber­bentuk sunat ghairi mu'akad. Kemudian seluruh suruhan yang fardhu dan sunat ini adalah beru­pa perintah yang mesti dilaksa­nakan zahir dan batin.

Di antara perintah-perintah suruh yang berbentuk fardhu misalnya ialah sembahyang, zakat, haji dan lain-lainnya. Kerana kita hendak membahaskan faedahnya perintah itu kepada ma­nusia, marilah kita ambil perintah sembahyang sebagai contohnya. Allah telah menjadikan sembahyang itu sebagai satu perintah yang akan, memberi faedah kepada manusia seluruhnya.

Tetapi manusia tidak akan nampak faedah ini kerana umum manusia akan mengang­gap sembahyang itu sebagai satu perbuatan yang menyusahkan terutamanya sembahyang Subuh. Kita sendiri pun, sebagai orang yang mengaji fardhu ain dan ada setengah-setengah dari kita pula sudah ikut dakwah, akan mengakui bahawa sem­bahyang Subuh amat menyusahkan. Pertamanya kita tidak boleh tidur lewat kerana pukul 5.30 atau selewat-lewatnya pukul 6.00 pagi, kita terpaksa bangun. Tentulah kita dalam keadaan mengantuk dan kalau seterusnya kita mengantuk juga bila pergi kerja, nanti kita tidak dapat hendak membuat kerja-kerja kita di pejabat.

FAEDAH

Kalau demikianlah yang kita rasakan, maka sememanglah sembahyang itu tidak ada faedahnya kepada manusia. Bukan saja ia tidak ada faedah tetapi ia juga menyusahkan kita. Cuma, yang tidak berfaedah dan yang dirasakan menyusahkan ialah mereka yang tidak mahu menilai dan meninjau hakikatnya. Tetapi kalau kita fikirkan dalam-dalam, sembahyang adalah memberi erti dan manfaat yang besar kepada kita.

Cuba kita perhatikan, apakah erti sembahyang itu sendiri? Bagaimanakah keadaan orang yang sembahyang itu? Ada pun orang yang sembahyang itu ada­lah orang yang percaya kepada Allah; orang yang mengingati A1­lah; orang yang mengetahui kua­sa Allah; orang yang meminta kepada Allah dan orang yang bersandar nasib kepada Allah. Hal ini semua dibuktikan daripada lafaz-lafaz yang kita ucapkan dalam sembahyang. Seperti ayat-ayat yang kita baca dalam doa Iftitah, dalam rukuk, dalam sujud, dalam tahiyyat dan lain­lainnya. Umpamanya, satu lafaz dalam doa Iftitah yang kita baca memberi maksud;"Ya Allah, sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hi­dupku dan matiku adalah untuk Tuhan Rabbul `Alamin."

Ini menandakan yang kita benar-besar menyerahkan diri dan nasib kita kepada Allah sahaja dan tidak kepada yang lain. Apa saja yang kita usaha ikhtiarkan semuanya hendaklah kita serahkan kepada Allah SWT Inilah hakikat sebenar bagi orang yang bersembahyang.

Kalau begitu, orang yang ber­sembahyang tahu bahawa Allah akan sentiasa membela dirinya. Dan keadaan itu, dia tidak akan merasa kecewa di dalam hidup ini kerana yang akan menjadi pembelanya adalah Allah SWT sendiri. Dalam sebarang hal dan masalah, dia akan mengadukan­nya kepada Allah. Bukankah se­memangnya manusia ini mem­punyai banyak masalah? Kerana banyaknya masalah manusia, maka banyaklah permintaan dan kehendaknya.

Dalam banyak permintaan dan kehendak-kehendak manu­sia itu, tidak semuanya akan diberi oleh Allah. Jadi, ada per­mintaan yang Allah beri dan ada permintaan yang Allah tidak be­ri. Katalah, seorang itu mempu­nyai 20 permintaan. Daripada­nya hanya 5 sahaja yang ditunaikan oleh Allah SWT Yang 15 permintaan lagi, kita tidak tahu sama ada Allah hendak beri atau tidak.

Kalaulah orang yang tidak berpaut dengan Allah, dan hati tidak berharap kepada Allah, kerana dia tidak bersembahyang, dengan gagalnya dia mendapatkan 15 kehendaknya yang lain itu, dia akan merasa kecewa dan hidupnya akan menderita. Apa­bila hatinya penuh kekecewaan dan hidupnya menderita, maka tidaklah ada ketenangan jiwa baginya. Manakala jiwa sudah tidak tenang, rumah besar tidak akan ada erti lagi, motokar besar juga tidak ada erti dan harta yang banyak juga tidak boleh mententeramkan jiwanya.

Jadi sembahyang boleh menenangkan jiwa dan menghi­langkan dukacita serta penderitaan hidup. Natijah dari itu, akan tenanglah fikiran seseorang. Betapa tidak tenangnya, kerana hatinya selalu berpaut kepada Allah, dirinya sentiasa diserahkannya kepada penentu­an Allah SWT Inilah hakikat orang bersembahyang dan apa­bila berlaku satu-satu masalah dalam hidupnya, dia lekas-lekas menyandarkannya kepada Allah SWT Inilah faedah dan manfa­at dari peraturan Allah SWT Manusia sendirilah yang mendapat manfaatnya.

ASYIK

Cuma kita tidak dapat merasakan faedahnya kerana kita belum lagi sembahyang dengan betul-betul serta khusyuk. Kita masih lalai dalam sembahyang. Sebab itu faedah dan manfaat sembahyang itu tidak berlaku kepada kita. Oleh itu, kalau kita hendak merasakan faedah dari sembahyang itu, kenalah kita perbetulkan sembahyang kita lahir dan batinnya, serta dijaga semua syarat dan rukunnya dan dapat pula memahami lafaz-lafaz dalam sembahyang itu. Janganlah kita asyik hendak men­jaga yang zahirnya saja seperti terlalu pentingkan sujudnya, sedangkan soal-soal batin tidak di­jaga. Kalau seseorang itu benar-­benar bersembahyang, maka akan terasa padanya akan kebe­saran Allah SWT

Jelas bahawa perintah sembahyang itu ada faedahnya ke­pada manusia. Dan bukan itu sa­tu saja faedahnya, malah ba­nyak faedah-faedah yang lain. Setengah-setengahnya diceritakan oleh Allah dalam al-Quran dan setengah-setehgahnya di­ceritakan oleh Rasulullah di da­lam hadithnya.

Perintah-perintah yang lain juga ada faedah dan manfaatnya kepada manusia. Katalah perintah zakat. Allah menyuruh kita melaksanakan zakat sama ada yang wajib mahupun zakat yang sunat iaitu bersedekah. Kalau kita pandang pada bentuk zahir­nya perintah itu, ia tentu tidak mendatangkan faedah apa-apa kepada kita, malah ia lebih merugikan kerana harta kekayaan kita akan susut. Tetapi, kalau ditinjau sedalam-dalamnya terma­suk memerhatikan susunan masyarakat manusia yang telah AIlah jadikan ini, seperti ada yang dijadikan miskin, ada yang dijadikan yatim dan sebagainya. Tentu nanti, zakat yang dilakukan itu ada faedahnya.

Umpamanya, Allah mengena­kan pembayaran zakat kepada orang-orang kaya dan yang mempunyai harta kekayaan yang lebih. Begitu juga pada mereka diminta supaya bersedekah. Kalau sekiranya orang-orang kaya ini tidak mahu berzakat dan bersedekah, kelak orang-orang miskin serta anak­anak yatim, tidak akan terbela nasib mereka. Kehidupan mereka akan terbiar. Dan kalaulah seterusnya kemiskinan mereka itu tidak dibela, maka bilangan mereka akan bertambah dari masa ke masa.

Akhirnya mereka akan mem­buat kacau, mereka akan me­rompak dan mencuri. Mungkin mereka sanggup membunuh ke­rana telah terpendam dendam kesumat di dalam jiwa mereka terhadap orang-orang kaya. Akibatnya, orang-orang kayalah yang akan merasakan hidup me­reka diganggu kebimbangan dan ketakutan.

Kalau mereka melaksanakan perintah zakat, hanya sebahagi­an kecil saja daripada harta mereka yang dituntut supaya mem­buat pembayarannya. Tetapi, kalau orang miskin sudah membuat kacau, kemungkinan habis harta orang-orang kaya akan menjadi sasaran. Bukan itu saja, nyawa mereka pun mungkin turut terkorban. Jadi, dengan se­bab itu, Allah memerintahkan orang-orang kaya membayar zakat kerana ada faedahnya kepada seluruh manusia.

la memberi kestabilan masya­rakat disamping memberi faedah secara langsung kepada orang-orang yang membayar zakat itu sendiri, kerana mereka akan terselamat dari kekacauan yang dilakukan oleh orang­orang miskin. Orang-orang miskin juga men­dapat faedah darinya kerana na­sib mereka terbela dan terbantu. Tidaklah mereka akan terdorong untuk membuat kekacauan. Inilah yang membawa kepada ke­stabilan dan keamanan masyarakat.

TERANCAM

Tetapi, hari ini kestabilan dan keamanan demikian tidak wujud lagi kerana orang-orang kaya sudah menjadi bakhil dan tidak mahu membantu orang-orang miskin dan anak-anak yatim. Orang-orang kaya hari ini memang sentiasa berada di dalam kebimbangan dan ketakutan. Mereka seolah-olah merasa yang nyawa mereka bila-bila masa saja boleh dihapuskan oleh orang-orang jahat. Harta kekayaan mereka sentiasa terancam. Bagi mereka, naik teksi pun membimbangkan, naik kereta sendiri pun tidak selamat, malah naik kapal terbang pun akan diculik.

Dalam pada itu, mereka juga bimbangkan keadaan anak isteri di rumah. Pada zahirnya tentu­lah rumah merupakan tempat yang paling selamat bagi semua manusia. Tetapi bagi orang-orang kaya hari ini, rumah me­reka pun seolah-olah tidak sela­mat. Itu pun sudah dipagar ber­lapis-lapis serta ada pengawal­pengawalnya pula. Berapa ra­mai orang-orang kaya hari ini terkorban di dalam rumah sendiri. Inilah akibat daripada orang­orang kaya tidak mahu melaksanakan perintah Allah supaya berzakat dan bersedekah. Yang demikian, jelaslah bahawa pe­rintah suruh dari Allah SWT ada faedahnya kepada manusia dan bukannya kepada Allah SWT.

Dan sekarang cuba kita bahaskan faedah perintah larang kepada manusia. Kita ambillah satu atau dua contoh daripada perintah-perintah larang yang begitu banyak yang mana ada­lah mengandungi larangan berbentuk haram dan larangan ber­bentuk makruh. Larangan-larangan haram pula ada yang zahir dan ada yang batin, ada yang dikira dosa besar dan ada yang dikira dosa kecil. Dan di antara perintah larang yang begitu ba­nyak, katalah kita ambil larang­an Allah jangan minum arak. Apakah faedahnya kepada manusia?

Adapun arak itu, sifatnya adalah memabukkan, bukan saja merosakkan akal tetapi juga merosakkan kesihatan badan. Sedangkan adalah menjadi fitrah semula jadi manusia, ingin kepada kesihatan badan dan ke­sihatan akal fikiran. Dan apabila Allah melarang seseorang itu daripada meminum arak, maka akan terselamatlah akal fikiran dan kesihatan badannya. Jadi, apa faedahnya kepada ma­nusia perintah larang meminum arak ini.

Dalam lain-lain perintah larang, kita dapati Allah melarang kita daripada menipu, mencuri, merompak, membunuh, memaki dan sebagainya. Ini adalah un­tuk keselamatan dan kedamaian masyarakat. Sebab, kalau Allah tidak melarang manusia daripa­da melakukan perbuatan-per­buatan seperti itu, maka akan timbullah kekacauan di tengah­tengah masyarakat. Akibatnya siapakah yang sudah? Manusia jugalah yang akan menderita. Sedangkan sudah menjadi fitrah semula jadi manusia yang semua sukakan keamanan dan kedamaian hidup. Semua orang suka kepada ketenteraman dan keamanan.

LOGIK

Seterusnya, cuba kita bahas lebih dalam sedikit tentang se­tiap satu peraturan dan undang­undang itu adalah untuk faedah manusia dan bukannya untuk faedah Allah SWT Setengah-sete­ngah orang yang tidak nampak faedah ini dan mungkin akan menghendaki hujah-hujah yang logik untuk meyakinkannya. Me­reka mungkin tidak mahu menerima pernyataan bahawa, kalau manusia ini mematuhi segala peraturan dan undang-undang hidup yang dinamakan syariat itu, maka manusia akan mem­perofehi faedah darinya dalam ertikata manusialah yang akan selamat. Allah tidak terjejas apa-apa. Allah tidak terlibat de­ngan sebarang peraturan dan undang-undang. Allah SWT terkecuali daripadanya.

Nanti orang-orang ini akan bertanya, kalau benarlah Allah tidak terjejas daripada undang-undang dan peraturan hidup-Nya, tetapi mengapakah Allah menghukum manusia-manusia melanggar peraturan itu di Akhirat kelak? Ini menampakkan seolah-olah Allah telah terjejas daripada peraturan dan undang-­undang-Nya akibat dari adanya manusia-manusia yang tidak menghormati peraturan itu, ke­rana Allah merasa terjejaslah, maka Allah balas manusia itu dengan azab dan deraan.

Kita boleh menjawab persoal­an seperti ini dengan mengam­bil contoh sesebuah kerajaan manusia di dunia ini. Walau se­jahat dan sezalim macam mana pun sesebuah pemerintahan itu, sedikit sebanyak, ia akan cuba juga menegakkan keadilan. Se­bab itu, setiap kerajaan yang memerintah, ia akan mengada­kan mahkamah undang-undang untuk memberi pengadilan ke­pada manusia. Jadi, setiap kera­jaan di dunia ini, ada timbang rasanya kepada orang ramai.

Kemudian, katalah seorang yang bernama si A telah melang­gar salah satu daripada undang­undang pemerintahan dengan mencuri ayam si B. Apakah de­ngan si A melanggar peraturan pemerintah kerana mencuri, pihak pemerintah akan terjejas? Apakah pihak pemerintah akan mendapat kesusahan bersabit dari peristiwa itu? Tentulah tidak, kerana apabila si A tertangkap, yang akan bertelagah di mahkamah pengadilan ialah antara si A dengan si B. Dan apabi­la si A didapati bersalah, si A akan dihukum kerana telah melanggar peraturan. Hukuman yang dikenakan kepada si A bukan kerana kerajaan merasa rugi di atas perbuatan si A melang­gar peraturan pemerintah tetapi adalah untuk memberi pengadilan kepada orang lain yang terbabit daripada perbuatan si A itu.

Jadi kita dapati bahawa, kerajaan manusia di dunia ini pun ada menyediakan mahkamah untuk mengadili manusia-manusia yang melanggar peraturan dan menghukumnya kalau dida­pati bersalah. Hukuman yang dikenakan bukan kerana kerajaan merasa terjejas dan tercacat te­tapi adalah untuk memberi pe­ngadilan kepada orang ramai.

Sebab itu, yang akan susah bukan kerajaan tetapi adalah orang yang melanggar. peratur­an itu sendiri. Kalau kerajaan manusia di dunia ini pun demi­kian, maka tentulah kerajaan AI­lah SWT lebih dari itu. Kalau kerajaan manusia yang walau sezalim mana sekalipun, ingin juga menunjukkan keadilannya kepada rakyat, Allah SWT ada­lah Maha Adil dan tidak pernah berlaku zalim kepada hamba-­hamba-Nya, malah Allah sentiasa berlaku belas kasihan terha­dap setiap hamba.

MENGHUKUM

Sebab itulah, setiap hambaNya yang melanggar peraturan dan undang-undang hidup yang telah disyariatkan, maka Allah akan membalasnya dengan menghukum ia di Akhirat sebagai memberi pembelaan kepada orang lain yang teraniaya. Dan, kalaulah Allah tidak berbuat demikian, maka bukanlah Tuhan dinamakan kerana Allah SWT yang sebenarnya adalah Maha Adil dan Maha Mengasihani kepada setiap hamba-Nya.

Kadang-kadang orang yang bertanya tadi boleh menerima logiknya jawapan yang kita beri­kan tetapi di samping itu dia mahu ertanya lagi. Sebab, contoh yang kita berikan ialah kesalahan yang manusia lakukan menyebabkan ada orang lain yang terbabit. Bagaimana pula kalau kesalahan yang seseorang lakukan itu tetapi tidak ada siapa yang terbabit? Katalah kesalahan dia tidak mahu bersembahyang, tidak mahu, puasa dan sebagainya. Menga­pa pula orang-orang ini dihukum juga? Kesalahan ini sedikit pun tidak ada hubungan dengan orang lain, tidak ada orang lain yang teraniaya tetapi orang itu tetap dihukum, malah hukuman­nya adalah lebih berat lagi. Dalam soal ini, tentulah kata mereka, yang Allah SWT itu te­lah terjejas dengan undang-un­dang dan peraturanNya.

TAKUT

Sebenarnya, setiap peraturan yang Allah datangkan kepada manusia ada kaitannya dengan masyarakat. Di samping satu­-satu peraturan hidup itu untuk perlaksanaan individu tetapi AIlah juga mengambil kira tentang hubungannya kepada masyara­kat umum. Di sinilah dikatakan syariat Islam itu lengkap dan sempurna kerana ia sentiasa bertimbal balas antara individu manusia dengan masyarakat manusia.

Dalam soal sembahyang saja, nampaknya memanglah ma­cam persoalan individu saja kerana yang diminta melaksana­kannya ialah individu. Sebab itu, hari ini kita selalu dengar, soal sembahyang soal individu. Dia hendak buat atau dia tidak ma­hu buat, itu soal peribadi: Siapa pun tidak boleh paksa. Ini tidak benar, kerana per­soalan hukum sembahyang, be­sar kaitannya kepada masyarakat seluruhnya. Adapun orang yang tidak sembahyang adalah orang yang tidak percaya kepa­da Tuhan atau kalau pun dia percaya kepada Tuhan, hatinya te­tap merasa bahawa seolah-olah Tuhan itu tidak ada. Jadi, kalau seseorang ftu tidak percaya kepada Tuhan lagi, maka baginya, tidak ada suatu kuasa ghaib pun yang boleh menyebabkan dia takut. Kerana dia tidak takut kepada sebarang kuasa ghaib, maka dia berani melakukan apa­apa sahaja dan pada bila-bila masa saja. Ertinya, senjata su­dah ada di tangannya.

Dia tidak ada pengawal diri kerana dia tidak takut kepada sebarang kuasa ghaib. Orang yang tidak ada pengawal diri oleh suatu kuasa ghaib, tidak akan takut kepada 'pengawal' yang zahir seperti pengawal-pengawal keselamatan. Sedangkan pengawal ghaib itu adalah pengawal yang sentiasa mengetahui setiap gerak-geri dan perbuatannya.

Kerana itu, orang yang tidak takut kepada sebarang kuasa ghaib, peluang untuk dia mela­kukan apa sahaja yang dia ma­hu adalah sentiasa terbuka luas. Cuma, antara dia mahu melakukannya dengan tidak mahu melakukannya sahaja. Sepertilah orang yang membawa senjata api, walaupun dia tidak menembak, tetapi dia adalah merbahaya. Sebab itu, di negara kita ini, hukuman membawa senjata api sahaja adalah sama beratnya dengan hukuman orang yang melakukan pembunuhan. Kera­na apa? Senjata sudah ada di tangannya, bila-bila masa saja dia boleh meledakkannya.

Dan begitulah bagi orang yang tidak bersembahyang. Dia tidak ada pengawal dirinya. Dia tidak takut kepada siapa pun sekalipun kuasa yang ghaib. Sebab itu dia boleh melakukan kejahatan bila-bila masa sahaja. Sebab itulah Allah hukum orang yang tidak bersembahyang kerana bukan sekadar dia melanggar hukum atau peraturan Allah tetap natijah dari itu, dia boleh melakukan kesalahan kepada orang lain seperti mencuri, menipu, rasuah, merogol, main judi, minum arak termasuk juga­lah membunuh dan sebagainya.

BAHAS

Dengan ini serba sedikit kita telah bahaskan betapa peraturan dan undang-undang yang AIlah jadikan adalah untuk faedah manusia dan bukannya untuk Allah SWT Kemudian cuba kita perhatikan betapa perbuatan AIlah juga adalah untuk faedah manusia dan bukannya untuk Allah. Tadi, telah kita katakan bahawa Allah SWT telah mencukupkan segala nikmatNya kepada manusia. Tidak ada satu nikmat pun yang kurang. Dan ini memang diperjelaskan sendiri oleh Allah SWT di dalam sepotong firmanNya yang bermaksud: "Kalau kamu hendak mengira nikmat-nikmat Aku, nescaya kamu tidak dapat menghitungnya."

Ertinya, begitu banyak sekali nikmat-nikmat Allah SWT, di bumi, di langit, di lautan, di daratan, di dalam diri kita dan di mana-mana saja. Semua ini adalah untuk faedah makhluk dan bukan untuk faedah Allah SWT Cuba kita ambil air sebagai contoh. Apakah air itu untuk faedah Allah SWT sedangkan AIlah itu tidak makan dan tidak minum. Allah SWT tidak mengambil faedah dari air tetapi faedahnya adalah kembali kepada makhluk itu sendiri. Dan ini ditegaskan sendiri oleh Allah SWT di dalam firmanNya, bermaksud:"Kami jadikan daripada air itu, setiap suatu itu menjadi hidup. "

Ini memang jelas. Kalau kita tanya orang-orang yang belajar ilmu sains dan teknologi mereka boleh buktikan yang air itu adalah keperluan asas kepada semua hidupan sama ada manusia, haiwan-haiwan atau tumbuhan. Kalau sekiranya tidak ada air, semua hidupan akan mati. Jadi, air adalah faedahnya untuk makhluk, bukan untuk AIlah SWT Kemudian, cuba kita perhatikan kejadian malam dan siang. Ini juga faedahnya adalah un­tuk makhluk dan tidak untuk AIlah SWT kerana Allah tidak terlibat dengan malam dan siang. Di dalam al-Quran ada Allah menyatakan maksudnya: “Kami jadikan malam sebagai pakaian untuk rehat dan Kami jadikan siang itu untuk mencari rezeki (untuk kehidupan). "

Jelas Allah sebutkan kepada kita faedahnya malam dan siang iaitu malam untuk kita berehat-rehat menghilangkan penat-lelah bekerja di siang hari kerana di siang hari itu memang Allah jadikan untuk kita menjalankan penghidupan, mencari rezeki dan sebagainya. lni yang disunnahkan oleh Allah dan kerana itu janganlah kita songsangkan dengan di waktu malam kita mencari rezeki dan menjalankan kehidupan manakala di siang harinya kita rehat-rehat. Kemudian, cuba kita perhatikan firman Allah di dalam sepotong ayat lain yang maksudnya adalah: "Allahlah yang telah menjadikan bumi ini untuk kamu dan dimudahkannya untuk kamu. Dan hendaklah kamu berjalan di pelosok-pelosok muka bumi ini dan makanlah rezeki padanya. Kepada Allahlah kamu akan dikembalikan. "

MELAMPAU

Jadi, kita dapati bahawa segala suatu itu Allah jadikan untuk faedah manusia kerana bumi ini saja telah Allah permudahkan untuk manusia sedangkan di bumi terdapat segala-gala nikmat yang boleh kita miliki. Di dalam firman itu, Allah menyuruh kita menguasainya cuma Allah peringatkan bahawa kita ini akan dikembalikan kepadaNya. Ini mengingatkan kita supaya jangan melampau dan berlebih-lebihan. Kerana kita ini tidak akan kekal di bumi ini sebaliknya akan balik ke negara asal kita iaitu di Akhirat. Kita adalah warganegara Akhirat dan bukan warganegara dunia. Bila kita dipanggil balik oleh Allah kelak, kita akan ditanya tentang apa yang telah kita lakukan di dunia ini.

Seterusnya, di dalam matan Risalah Tauhid ini, Syeikh Suhaimi Rahimahullah Taala berkata bahawa segala yang maujud itu nisbah berkehendak kepada tempat berdiri dan kepada yang menjadikannya, adalah terbahagi kepada empat bahagian:

Yang pertama, terkaya daripada tempat berdiri dan kepada yang menjadikannya. Itulah zat Allah SWT.

Yang kedua, berkehendak kepada tempat berdiri dan kepada yang menjadikannya. Itulah segala 'aradh atau sifat yang mendatang.

Yang ketiga, terkaya daripada zat tempat berdiri tetapi berkehendak kepada yang menjadikannya. Itulah segala bentuk jirim.

Yang keempat, terkaya daripada yang menjadikannya tetapi berdiri ia pada zat iaitu sifat Allah SWT

Inilah empat perkara bagi se­gala yang ada ini, nisbah kepada mereka berkehendak pada tempat berdiri dan pada yang menjadikannya. Di antara 4 per­kara itu, dua adalah berkait pa­da segala yang baharu iaitu seluruh alam dan makhluk ini. Se­pertimana yang telah pernah ki­ta perkatakan dalam pengajian-pengajian tauhid kita yang lalu, segala yang baharu termasuk jugalah ‘aradh, semuanya berha­jat kepada tempat berdiri dan berhajat kepada yang menjadikannya.

Manakala 2 perkara yang lagi itu ialah yang berkait dengan AIlah SWT iaitu, yang tidak berkehendak kepada zat tempat berdiri dan tidak berkehendakkan kepada yang menjadikanNya. Itulah zat Allah SWT yang Maha Suci. Dan yang tidak memerlukan kepada yang menjadikan­nya tetapi berhajat kepada zat tempat berdiri, itulah sifat Allah SWT. Kerana, dulu pernah kita bahaskan bahawa tiap-tiap sifat, ia tidak boleh berdiri dengan sendirnya. Ia memerlukan zat sebagai tempat berdiri. Ertinya, zat dan sifat tidak boleh dipisahkan.

Cuma, sifat yang ada pada AI­lah SWT, ia adalah qadim lagi azali seperti yang telah juga kita bahaskan. Ini adalah kerana zat adalah qadim lagi azali. Tidak seperti sifat makhluk dan segala `aradh, ia adalah permulaannya. Dalam kita memperkatakan tentang keadaan sifat dan zat Allah SWT ini, ada perkara-perkara yang perlu kita faham benar-benar agar kita tidak terjatuh kepada hukum syirik. Kerana dulu kita telah katakan bahawa, kalau berlaku kesilapan dalam pengertian di bidang tauhid, kita boleh jatuh kepada syirik. Sebaliknya, kalau tersilap di bidang Feqah, kita hanya akan berdosa sahaja. Itu sebab kesilap­an di bidang Tauhid kena kita perhatikan betul-betul.

QUDRAH

Yang boleh menyebabkan kita tersilap bila memperkatakan tentang zat dan sifat Allah ialah bila kita menyentuh tentang AI­lah SWT itu memati dan menghidupkan makhluk atau Allah SWT itu menjadi dan membinasakan makhluk. Dalam hal ini, kadang-kadang kita dengar juga orang berkata, `Sifat qudrah AI­lah SWT itulah yang mematikan' atau 'sifat qudrah dan iradah Allah itulah yang menjadikan'.

Bila ada orang berkata demi­kian, kita bimbang, kalau-kalau orang yang mendengar nanti akan tersalah anggap hingga merasakan bahawa sifat Allah SWT itulah yang berkuasa dan sebagainya sedangkan tadi kita telah katakan bahawa sifat itu berdiri di atas zat dan ia tidak boleh berdiri sendiri. Kalau begitu, tentulah bukan sifat yang berkuasa menjadikan atau mematikan tetapi adalah zat Allah SWT melalui sifat qudrah dan iradahNya. Jadi, bagi kita, jangan sekali-kali kita tersalah anggap kerana kalau kita tersalah tafsir atau tersalah maksud hingga mengatakan ba­hawa sifat Allah SWT itulah yang berkuasa, maka ia memba­wa kita kepada jatuh syirik.

Hal ini memang mudah berlaku di kalangan masyarakat kita. Katalah dalam satu contoh lain, yang mana mudah sekali kita boleh jatuh syirik. Ada pun ayat­ayat al-Quran itu ada mengan­dungi berbagai-bagai hikmah yang di antaranya ia boleh men­jadi ubat atau penawar bagi menyembuhkan berbagai-bagai pe­nyakit. Dalam hal ini, kadang-kadang ada orang yang nanti akan menganggap bahawa ayat-ayat itulah yang menyembuh­kan penyakit kita. Orang itu boleh jatuh syirik kerana yang menyembuhkan penyakit bukan kuasa yang ada pada ayat-ayat itu tetapi adalah Allah SWT melalui sifat qudrahNya.

Cuma dengan melakukan pa­da ayat-ayat al-Quran sebagai boleh menyembuhkan penyakit dan berbagai-bagai hikmah yang lain, ini adalah tanda kasih sayang Allah serta rahmatNya yang tidak terhingga dengan menjadikan peraturan-peraturanNya berfaedah kepada hambaNya.

Sebenarnya, kalau kita hen­dak perkatakan tentang hikmah-hikmah pada ayat al-Quran, tentulah banyak sekali. la bukan sekadar boleh menyembuh penyakit sahaja tetapi boleh juga di­gunakan untuk menenangkan hati, menahan lapar, menjauh­kan sihir serta hantu syaitan, mendatangkan rezeki dan lain­lainnya. Malah yang paling ter­besar hikmahnya ialah, ayat­ayat al-Quran boleh menimbulkan rasa Tauhid yang kuat di dalam hati. Seperti ayat AI-Ikhlas, membaca ayat ini boleh memberi berbagai-bagai faedah kepada kita, dengan izin Allah SWT la boleh menahan diri dari lapar, ia boleh menyembuhkan penyakit, ia boleh mendatangkan rezeki dan lain-lain lagi. Malah dengan membacanya, kita akan merasakan kesedaran Tauhid yang tinggi.

LEMBAH

Begitulah seterusnya dengan ayat-ayat yang tertentu di dalam al-Quran. Setiap suatunya ada mengandungi hikmah-hikmah. la ibarat air yang turun dari kemuncak gunung. Bagi mereka yang berada di lembah gunung itu boleh menggunakan air itu untuk berbagai-bagai keperluan. la boleh menjadi air minum, air mandi serta untuk membasuh berbagai-bagai perkara, di dalamnya pula ada ikan yang oleh dijadikan sumber rezeki dan begitulah seterusnya.

Walau bagaimana banyak sekali pun hikmah pada ayat-ayat al-Quran, namun hikmah yang paling tinggi ialah dengan mem­bacanya ia boleh mendatangkan pahala kepada kita. Sebab itu, bila kita menggunakan satu-satu ayat al-Quran di dalam baca­an, janganlah kerana penting­kan hikmah dan khasiatnya sa­haja. Allah tidak redha kita ber­sikap demikian. Janganlah kita menjadi sikap setengah-sete­ngah dukun yang menggunakan ayat-ayat al-Quran semata-mata kerana khasiatnya boleh mengubat tetapi hukum-hakamnya tidak dijaga, syariat lahir dan ba­tinnya dicuaikan, pengajaran ta­sauf dan tauhid yang ada di dalamnya tidak diendahkan.

Yang dikehendaki ialah supa­ya kita menghormati segala pe­rintah-perintah dan peraturan serta hukum-hakam di dalam ayat itu seperti kalau ayat itu menyuruh kita mengEsakan AIlah SWT, maka itulah yang kita lakukan atau kalau ayat itu memerintah kita sesuatu, maka pe­rintah itu hendaklah kita laku­kan. Kemudian, dengan membacanya, datang khasiat-khasiat yang lain. Itu adalah sebagai tambahan sahaja yang mana se­ngaja Allah hendak berikan sebagai tanda kasih sayangnya kepada makhluk ini. Tetapi yang asasnya jangan kita tinggalkan kerana kita hendaklah yang hujung-hujungnya sahaja.



[ Posting ini telah di edit oleh: Ainul_Mardhiah pada 2003-05-02 10:41 ]


Bookmark and Share




  Member Information For engku_salinaProfil   Hantar PM kepada engku_salina   Quote dan BalasQuote

Member Messages

Forum Search & Navigation

 

Log in to check your private messages

Silakan Login atau Mendaftar





  


 

[ Carian Advance ]

Jum ke Forum 


-------------------------------------------------------------------------------
Portal Komuniti Muslimah
Hakcipta 2003 oleh Hanan Alam Faizli / Hanan Network
Made in: Bandar Sunway, Selangor
Tarikh Mula: 17hb April 2003

Dibina oleh: Team Walasri

Ditadbir oleh:





Loading: 0.047319 saat. Lajunya....